Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
SELAMAT DATANG KE WEB BLOG MAJLIS ALUMNI IPG KAMPUS SULTAN MIZAN

Guru dan Stress

>> Saturday, November 13, 2010

Pengenalan

Tekanan merupakan satu pengalaman yang lumrah dalam kehidupan manusia. Setiap manusia tidak dapat lari daripada tekanan yang boleh berpunca daripada peristiwa-peristiwa dalam kehidupan baik dalam bentuk fizikal, sosial dan psikologikal. Kesan tekanan ke atas seseorang individu banyak bergantung kepada ciri-ciri dan sikap individu itu bagaimana untuk mengatasinya. Smither (1994) menakrifkan tekanan sebagai respon fisilogikal dan psikologikal ke atas permintaan terhadap seseorang. Schafer (1992) mendefinisikan tekanan sebagai kebangkitan minda dan badan seseorang dalam bertindakbalas kepada permintaan terhadap dirinya. Fontana (1989) pula memberi definisi tekanan sebagai permintaan yang dibuat ke atas keupayaan penyesuaian minda dan badan seterusnya menjelaskan sekiranya keupayaan seseorang itu dapat menangani permintaan itu, makan tekanan itu akan mendatangkan kesan yang positif. Kesedaran tentang perlunya menguruskan tekanan ini digambarkan dengan kajian-kajian yang banyak dijalankan sama ada di dalam ataupun di luar negeri. Antara kajian tersebut ialah Nelson dan Sutton (1990) dan Jung (1995) di Amerika Syarikat; Cooper dan Kelly (1993) , Abouserie (1996) dan Cockburn (1996) di United Kingdom; Chan dan Hui (1995) di Hong Kong. Di dalam negeri pula telah dijalankan oleh Noor Azzuddin (1990), Noriah (1995), Abu Omar (1996) dan Ungku Norulkamar (1997). Kebanyakan kajian yang dimaksudkan adalah berkaitan langsung dengan persoalan tekanan di kalangan guru-guru.

Stres merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini. Kesihatan mental seperti yang didefinisikan oleh Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) adalah kebolehan mengekalkan hubungan yang harmoni dengan orang lain, ‘kebolehan dalam mengambil bahagian di dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebolehan untuk menyumbang khidmat kepada masyarakat’ (Kempen Cara Hidup Sihat, Kementerian Malaysia, 2000). Apabila seseorang itu berhadapan dengan stres, sudah tentu ia akan gagal untuk berfungsi dengan baik di dalam masyarakat. Menurut kajian yang dilakukan oleh Institute of Stress di New York, Amerika terdapat 90 peratus daripada lelaki dewasa mengalami stress yang kuat sekurang-kurangnya dua kali seminggu, manakala 25 peratus lagi mengalami stress setiap hari.

Gold dan Roth (1993) menggambarkan status profesion perguruan masa kini dianggap mempunyai tiga keadaan negatif, iaitu keadaan yang tekanan, moral guru yang rendah dan perletakan jawatan (mungkin bukan dalam keadaan kegawatan sekarang). DiMalaysia, persoalan tekanan di kalangan guru bukan lagi setakat bahan kajian ilmiah, malah ia menjadi isu dalam media masa. Menurut Muhamad (1995) , kajian oleh Kongres Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES) menunjukkan guru-guru mengeloh terhadap kerja-kerja rutin guru seperti menyediakan perancangan tahunan, penggal, mingguan dan harian. Antara alasannya ialah masalah peribadi, tawaran yang lebih baik, tidak mahu berjauhan denga keluarga, persekitaran kerja yang tidak sesuai dan beban tugas yang berat (Borneo Post, 1996).

Gold dan Roth (1993) menyatakan bahawa salah satu punca stres bagi guru adalah perubahan (Zakiah Binti Arshad, 2003). Sebagai pengurus pembelajaran, guru perlu merancang pengetahuan, kemahiran dan nilai yang hendak diajar setiap hari Esah Sulaiman (2003). Antara faktor-faktor yang menyebabkan stres guru ialah depersonalisasi, kejayaan diri, ketandusan emosi, lebihan kerja, hubungan interpersonal dan persekitaran kerja. Depersonalisasi ini adalah merujuk kepada keadaan emosi seseorang guru seperti cara melayan pelajar dan macam mana seseorang guru itu mengatasi masalah pelajarnya. Kejayaan diri merujuk kepada cara seseorang guru untuk mencapai kejayaan untuk melihat pelajarnya mencapai keputusan yang baik dalam pelajaran. Ketandusan emosi pula merujuk kepada perasaan guru yang kuat dalam menjalankan tugas tanpa merasa marah, sedih dan bersifat sentimental. Persekitaran kerja juga mempengaruhi guru dalam menjalankan tugas harian mereka antaranya keadaan persekitaran kelas, kemudahan alat bantu mengajar dan alat kelengkapan yang lain untuk memudahkan perhubungan guru dan pelajar.

Istilah "burnout" mula-mula diperkenalkan oleh Freudenberger (1974) yang menggambarkannya sebagai perasaan kegagalan dan kelesuan akibat tuntutan yang terlalu membebankan ke atas tenaga, sumber-sumber atau ketabahan seseorang. Dalam erti kata yang lain, burnout boleh juga didefinisikan sebagai pilihan terakhir (akibat) apabila satu siri percubaan untuk menangani tekanan negatif, gagal mencapai matlamatnya (Farber, 1984). Maslach & Jackson (1981) telah memperkembangkan konsep burnout dengan menerangkan bahawa sebenarnya terdapat tiga jenis (subskala) burnout.Ketiga-tiga jenis burnout itu ialah kelesuan emosi (emotional exhaustion), depersonalisasi (depersonalization) dan pencapaian peribadi (personal accomplishment).Mengikut Cordes dan Dougherty (1993), konsep Maslach dan Jackson ini merupakan definisi burnout yang paling banyak diterima oleh para pengkaji. Maslach & Jackson (1981) menerangkan bahawa kelesuan emosi merujuk kepada perasaan kelesuan fizikal dan emosi dan perasaan bosan akibat daripada tekanan kerja dan kekangan-kekangan masa harian. Depersonalisasi pula merujuk kepada pembentukan sikap yang negatif dan respons yang dingin terhadap orang lain (contoh: pelajar, rakan sejawat) di tempat kerja seseorang. Ia disebabkan oleh interaksi yang terlalu kerap dan tidak berhabisan antara seorang individu dengan orang lain di tempat kerjanya. Manakala pencapaian peribadi merujuk kepada perasaan kehilangan harga diri dan perasaan kurang mencapai dalam pekerjaan. Ia disebabkan oleh kurang penghargaan dan maklumbalas yang positif.

Maslach dan Jackson juga menerangkan bahawa konsep burnout bukan satu dikotomi tetapi merupakan satu kontinum. Ini bermaksud kita tidak boleh mengklasifikasi seseorang itu sebagai "sudah burnout" atau "tidak burnout" tetapi kita hanya boleh mengatakan bahawa tahap burnoutnya terletak di antara "lebih burnout" dengan "kurang burnout". Harus juga diingat bahawa ketiga-tiga jenis (subskala) burnout tidak boleh digabungkan untuk menjadi satu ukuran (skor) burnout yang tunggal (Maslach & Jackson, 1981; Iwanicki & Schwab, 1981; Byrne, 1992). Ini kerana ketiga-tiga subskala ini merupakan konsep burnout yang berlainan dan tersendiri. Oleh itu, setiap orang tidak mempunyai satu skor burnout yang tunggal tetapi tiga skor burnout, satu untuk setiap subskala.

Friesen (1986) melaporkan bahawa tekanan (stress) kerja merupakan peramal yang signifikan untuk burnout guru.Hipps & Malpin (1991) mendapati satu hubungan positif yang kuat antara tekanan kerja dengan burnout. Mo (1991) pula mendapati bahawa guru yang mengalami lebih tekanan juga mempunyai tahap burnout yang lebih tinggi. Oleh itu, jelas kedua-dua tekanan dan burnout adalah saling berkait. Ini menyebabkan ramai orang keliru dan sentiasa menganggap bahawa kedua-dua konsep ini merupakan perkara yang sama. Akan tetapi walaupun mempunyai hubungan, kedua-dua fenomena inimerupakan konsep yang berlainan dan tersendiri. Sebagai contoh, Farber (1984) menjelaskan bahawa seseorang yang menghadapi tekanan tidak semestinya akan mengalami burnout. Selain itu, Selye (1976) menerangkan bahawa terdapat dua jenis tekanan iaitu eustress ('good' stress) dan distress ('bad' stress). Manakala distress dan burnout adalah saling berkait, eustress dan burnout merupakan konsep yang bertentangan. Ini kerana eustress membawa kebaikan contohnya, dengan membuat sesuatu tugasan itu lebih mencabar dan lebih merangsangkan, manakala burnout tidak mempunyai ciri yang baik langsung. Sebaliknya, burnout hanya memburukkan lagi masalah yang dihadapi oleh seorang individu atau sebuah organisasi. Oleh itu, jelas bahawa kedua-dua konsep tekanan dan burnout tidak boleh disama ertikan.


Punca Stress/burnout

Punca stress/burnout di kalangan guru boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu punca profesional dan punca peribadi:-

Punca professional

1. Persekitaran kerja

Persekitaran kerja yang kurang kondusif boleh menjadi punca berlakunya stres di kalangan guru. Misalnya ruang kerja yang sempit dan kelas yang tidak selesa boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada guru. Ditambah dengan kemudahan sekolah yang tidak mencukupi untuk keperluan sendiri dan pelajar serta pelbagai isu pendidikan dalam negara.

2. Perubahan

Perubahan peningkatan populasi dalam masyarakat, peningkatan taraf hidup dan jenayah yang memberikan impak negatif dalam tingkah laku pelajar menyebabkan seseorang guru itu harus melakukan perubahan dalam kehidupan profesional dan peribadinya. Perubahan boleh menyebabkan terganggunya sistem keseimbangan dalam diri seseorang individu itu. Contohnya, banyak perubahan telah berlaku dalam mobiliti masyarakat Malaysia pada hari ini. Antaranya, penambahan golongan etnik dalam pendidikan. Pelajar dari golongan etnik ini kurang fasih atau tidak tahu langsung berbahasa Melayu. Oleh itu, hal ini memberikan tekanan kepada guru Bahasa Melayu untuk memenuhi kurikulum pendidikan.
 
Punca peribadi

1. Kesihatan

Keadaan kesihatan guru yang terjejas akibat kemalangan atau berlaku kematian dalam kalangan keluarga.

2. Perhubungan

Oleh sebab banyak perubahan dalam masyarakat pada hari ini, misalnya peningkatan kadar jenayah, guru memerlukan sokongan dan hubungan yang baik dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Apabila berlaku perselisihan faham maka ini boleh menyebabkan stress terhadap guru tersebut.

3. Kewangan

Gaji yang rendah berbanding dengan profesion yang lain membataskan aktiviti riadah dan taraf hidup seseorang guru.

4. Taraf hidup

Gaji yang rendah menyebabkan sukar untuk guru menikmati dan memberikan taraf hidup yang baik bagi keluarga mereka. Disamping itu, memiliki rumah sendiri juga sukar terutamanya bagi guru yang baru mengajar.

5. Aktiviti riadah

Gaji yang rendah membataskan pilihan guru melakukan aktiviti riadah bersama keluarga (Gold Yvonne dan A. Roth Robert, 1993).


Cara Mengendalikan Stress di kalangan Guru
Stress dalam kalangan guru dapat dikendalikan dengan strategi berikut:

1. Kenal pasti reaksi emosional

Apabila keperluan emosi dapat dikenal pasti maka seseorang guru boleh menangani stress dengan cara yang lebih positif. Contoh situasi, seorang guru perempuan tidak bersefahaman dengan pengetua di sekolahnya. Guru tersebut telah menangani stress dengan cara yang negatif, iaitu menengking pengetua itu. Setelah guru tersebut mengetahui keperluan emosi dalam dirinya, guru tersebut sedar bahawa tindakannya adalah kerana suatu masa dahulu ayahnya telah menggunakan pendekatan yang sama oleh pengetua itu, iaitu lagak bapa yang menghukum anaknya. Guru tersebut sedar bahawa dia inginkan pengetua itu menghargai beliau. Guru tersebut telah berhadapan dengan pengetua dan memberitahu perasaannya itu. Akhirnya, hubungan mereka berjaya dipulihkan.

2. Komitmen sosial

Apabila berhadapan dengan stress, guru memerlukan sokongan daripada orang-orang di sekelilingnya. Oleh itu, komitmen sosial amatlah penting.

3. Kehidupan fizikal

Stress menjejaskan kesihatan dari segi imunisasi tubuh. Oleh itu, seseorang guru harus tahu teknik yang berkesan untuk menangani stress terutamanya menjelang peperiksaan pelajar dan pertukaran pentadbiran di sekolah.Pengetahuan dalam senaman rutin dan pelan makanan seimbang boleh membantu guru menangani stress.

4. Intelek

Guru hendaklah bergaul dengan golongan yang memiliki tahap intelek yang serupa dengan mereka kerana aspek intelek boleh membantu guru menangani stress (Gold Yvonne dan A. Roth Robert, 1993).

 
Stress jika dibiarkan, boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik. Justeru adalah penting untuk mengubah diri individu untuk menangani stress dengan cara yang terbaik. Kenal pasti punca yang menyebabkan masalah tersebut dan ubah. Dengan mengetahui punca stress tersebut, individu bukan hanya meringankan masalah kini malah menghindarkan berulangnya masalah serupa pada masa akan datang. Contohnya, jika seseorang guru kecewa dengan perbalahan dengan pelajarnya, guru tersebut mungkin menyedari bahawa punca kekecewaannya itu bukan disebabkan oleh tingkah laku pelajar tetapi harapan yang tidak realistik guru berkenaan. Dengan mengubah standard yang ingin dicapai, guru tersebut akan mendapati bahawa tingkah laku pelajar tidak lagi mengganggunya.

Bagi mengatasi masalah tersebut juga, Goleman (1999) telah menyarankan lima faktor atribusi terhadap masalah stress/burnout. Faktor- faktor tersebut ialah:-

a) Kesedaran Kendiri (self-awareness)
b) Pengawalan Kendiri (self-regulation)
c) Motivasi Kendiri (self-motivation)
d) Empati
e) Kemahiran Sosial (social skills).

Faktor atribusi pertama iaitu kesedaran kendiri bermaksud kebolehan seseorang guru untuk mengetahui perasaan mereka dalam satu-satu situasi dan keupayaan mereka untuk memilih keutamaan panduan dalam membuat keputusan. Seseorang guru yang mempunyai kesedaran kendiri juga mempunyai penilaian yang realistik tentang keupayaan diri dan mereka mempunyai keyakinan diri yang utuh.

Pengawalan kendiri (self-regulation) dimaksudkan sebagai kebolehan mengurus emosi agar ianya memudahkan dan bukannya mengganggu dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Guru yang boleh mengawal diri mereka sentiasa berhemah dan boleh menangguhkan sementara perasaan negatif mereka. Guru sedemikian juga cepat pulih daripada tekanan emosi.

Guru yang mempunyai motivasi kendiri (self-motivation) berupaya menggunakan kehendak diri dalam menggerak dan memandu arah mereka untuk mencapai sesuatu tujuan. Motivasi kendiri boleh membantu seseorang dalam mengambil inisiatif dan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri. Individu dengan motivasi kendiri yang tinggi sentiasa tabah apabila menghadapi masalah atau dalam keadaan kekecewaan yang tinggi.

Empati merupakan faktor atribusi yang boleh membantu seseorang mengesan perasaan orang lain. Sifat berempati juga membolehkan seseorang guru melihat atau memahami sudut pandangan orang lain. Sifat ini juga boleh menjadi faktor pencetus dan penyubur kemesraan dan keserasian dengan individu dari pelbagai latar belakang. Individu yang mempunyai sifat empati boleh menyelami keperitan, kesusahan, kekecewaan atau keraguan seseorang terhadap sesuatu perkara. Rogers (dalam Corey, Corey & Callahan 1998) menyatakan bahawa seseorang yang boleh menunjukkan sifat berempati akan lebih mudah berinteraksi dengan orang lain terutama dalam proses membantu seseorang. Guru perlu memiliki sikap ini supaya dengan mudah memahami dan mendekati murid. Murid akan berasa selesa bersama guru dengan adanya kemahiran tersebut.

Faktor atribusi terakhir yang dicadangkan oleh Goleman (1999) ialah kemahiran bersosial (social skills). Beliau menyatakan bahawa faktor kemahiran bersosial ini membolehkan seseorang mengurus pelbagai emosi secara efektif dalam perhubungan. Mereka juga mampu mentafsir dengan tepat situasi sosial dan jaringannya selain daripada mahir memujuk dan memimpin. Seseorang guru yang mempunyai kemahiran bersosial yang berkesan juga mampu menjadi pakar runding yang baik disamping berkebolehan menyelesaikan konflik bagi mewujudkan kerjasama dan semangat berpasukan dalam bilik darjah.

Selain itu hubungan interpersonal yang baik juga perlu bagi guru antaranya berkongsi masalah dengan rakan sekerja, rakan sekerja sentiasa memberi kerjasama dan sentiasa mendapat galakan daripada pentadbir atau pengetua. Guru juga telah dibebankan dengan pelbagai tugasan pentadbiran yang telah menjadi rutin pekerjaan mereka, umpamanya mengisi borang, mengutip yuran, mengemas kini kedatangan pelajar, menyediakan laporan prestasi, menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan pelbagai lagi bagi memajukan pelajarnya. Kyriacou (1987) juga menekankan bahawa stres yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal serta berupaya melemahkan secara signifikan kerjaya guru dan prestasi pelajarnya kerana stress menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para guru. Keberkesanan sesuatu pendidikan adalah bergantung kepada pengerak utama sistem ini iaitu guru-guru. Prestasi guru dan komitmen adalah penting bagi seseorang guru untuk membantu anak bangsa dalam memperolehi kejayaan.


Penutup
Profesion perguruan adalah profesion yang tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas antara masa bekerja dan masa tidak bekerja. Menurut Noriah (1994) keadaan sedemikian boleh mewujudkan tekanan kepada guru-guru. Selye (1956) menyatakan bahawa tekanan yang berpanjangan boleh membawa kepada gangguan emosi di tahap yang berbeza-beza daripada tahap rendah hingga ke tahap serius. Ini akan mewujudkan emosi yang pelbagai seperti bosan, lesu, marah, kecewa dan benci (Muchinsky, 1997). Tugas guru merupakan tugas yang kompleks dan mencabar. Mereka bukan sahaja perlu mengajar, malah perlu melakukan kerja-kerja pengkeranian dan pentadbiran, menjalankan aktiviti kokurikulum dan juga melibatkan diri secara aktif dalam Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (Noriah 1994). Disamping kerja-kerja yang dinyatakan, guru juga perlu berinteraksi dengan pelajar-pelajar secara fizikal, dan emosi semasa proses pengajaran dan pembelajaran (Mohd Najib 2000). Kenyataan ini disokong oleh Newton dan Newton (2001) yang mengatakan guru perlu banyak berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelajar dalam kelas. Polloway, Patton dan Serna (2001) juga mengakui kepentingan kemahiran sosial bagi guru yang mengajar dan juga melatih pelajar dalam kemahiran sosial.Justeru, kebolehan guru berinteraksi dengan pelajar dipengaruhi oleh keadaan emosi guru.

read more "Guru dan Stress"

Kod Etika Guru

1. Guru tidaklah harus bertingkahlaku sehingga begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionalnya dan yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan.

2. Guru tidaklah harus bertingkahlaku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan.

3. Dalam semua hubungan dan tugas, guru hendaklah menjalankannya dengan jujur.

4. Tanggungjawab utama guru ialah terhadap muridnya. Kepentingan murid mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian.

5. Guru haruslah menumpukan perhatian terhadap keperluan setiap muridnya.

6. Guru haruslah memberi perhatian dan pengajaran untuk semua murid tidak kira bangsa dan agama atau kepercayaan.

7. Guru haruslah bertugas sebagai 'pengganti ibubapa' dalam usaha membentuk tingkah laku murid ke arah matlamat yang diterima oleh masyarakat.

8. Guru haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua murid tidak kira bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal, keturunan, daya intelek dan lain-lain.

9. Guru haruslah mengesan, menerima perbezaan individu di kalangan muridnya dan membimbing mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan lain-lain.

10. Guru haruslah menghormati hak setiap murid supaya maklumat sulit mengenai diri murid tidak diberitahu kepada orang atau agensi yang tidak berkenaan.

11. Guru tidaklah harus bertingkah laku terhadap muridnya begitu rupa yang boleh membawa jatuhnya darjat profesion perguruan.

12. Guru tidaklah harus menanam sikap yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat atau negara.

13. Guru haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap semua muridnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warganegara yang taat dan berguna.

14. Guru tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri murid dan ibubapa terhadapnya.

15. Guru haruslah bertingkahlaku begitu rupa supaya menjadi contoh baik atau 'role model' kepada muridnya.

16. Guru tidak harus menerima apa-apa bayaran daripada muridnya untuk pelajaran atau pengajaran tambahan yang dijalankan semasa waktu sekolah atau cuti sekolah melainkan bayaran yang disahkan.

17. Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya untuk kerja tuisyen atau pengajaran persendirian.

18. Guru tidaklah harus memaksakan kepercayaan, keagamaan, politik persendirian terhadap muridnya.

19. Guru tidaklah harus meminta atau menerima hadiah daripada ibubapa atau ahli masyarakat dalam menjalankan tugas profesionalnya.

20. Guru tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru lain.

21.Guru haruslah menggunakan cara yang sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan) untuk tujuan kenaikan pangkat atau untuk mendapat pekerjaan.

22. Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-besarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan.
read more "Kod Etika Guru"

5 Sebab MBMMBI Dilaksanakan

>> Friday, November 12, 2010

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran semalam mengemukakan lima sebab bagi menjawab persoalan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilaksanakan pada 2012, bukan pada 2010 seperti didesak beberapa pihak.


Lima alasan itu berkaitan penyediaan buku teks, menggubal kurikulum, latihan kepada guru, mengenal pasti buku rujukan yang sesuai dan menyediakan perkakasan seperti makmal Bahasa Inggeris (BI) yang mencukupi.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata tempoh yang panjang juga dapat memastikan segala kelemahan sewaktu pelaksanaan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak berulang.

"Kementerian Pelajaran memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk menyediakan segala keperluan seperti buku teks, kurikulum, latihan kepada guru, menambah jumlah guru, mengenal pasti buku rujukan yang sesuai dan lain-lain perkakasan seperti makmal BI.

"Tempoh yang panjang itu juga perlu bagi mengelakkan kecelaruan di kalangan pelajar kerana selama ini mereka mengikuti pengajian mengikut dasar PPSMI, selain memastikan guru benar-benar bersedia melaksanakan dasar baru ini," katanya pada sidang media mengenai hasil mesyuarat meja bulat panel MBMMBI di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan beberapa pihak yang mahu MBMMBI dilaksanakan tahun depan dan bukannya pada 2012 berikutan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI pada Julai lalu.

Mengenai dasar PPSMI, katanya, guru besar dan pengetua diminta memastikan guru terus melaksanakan dasar itu hingga 2012, sejajar keputusan Kabinet.

Beliau berkata, guru yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan kerana melanggar dasar ditetapkan kerajaan.

"Guru besar dan pengetua perlu memantau keadaan kerana dasar PPSMI akan kekal sehingga 2012.

"Lagipun, perkara ini tidak sepatutnya berlaku (mengajar dalam BM) kerana sukatan pelajaran, perisian komputer dan buku teks subjek Sains dan Matematik masih dalam BI," katanya.

Mengulas tindakan sekolah mengadakan peperiksaan dalaman dalam BI, Alimuddin berkata, kebanyakannya membabitkan sekolah di kawasan bandar kerana sekolah di luar bandar selalunya memilih mengadakan peperiksaan dalaman dalam dwibahasa iaitu BM dan BI.

Berita Harian Online: 20 Ogos 2009
read more "5 Sebab MBMMBI Dilaksanakan"

Dasar Pendidikan Kebangsaan

 Latarbelakang
Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.

Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.

Rasional
Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan suppress semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.

Objektif
Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu:

"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya..." Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.

Seterusnya, objektif-objektif ini diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih.
Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.
Strategi Pelaksanaan
Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:

(a)  Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang
utama;
(b)  Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia
bagi semua jenis sekolah;
(c)  Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;
(d)  Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;
(e)  Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan  pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu;
(f)    Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun;
(g)   Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan
mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada  kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman;
(h)   Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada  tahun 1983 yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh;

(i)   Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui
penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978;

(j)   Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di
peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan;

(k)   Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin;

(l)   Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata
pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan

(m)   Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin,
  seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.
Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini. Diantaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.

Penutup
Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan secucuk dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta secara aktif.

read more "Dasar Pendidikan Kebangsaan"

Modul Kurikulum Standart Sekolah Rendah (KSSR)

>> Wednesday, November 10, 2010

Dasar pendidikan negara telah berubah apabila Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) telah ditukar kepada Kurikulum Standart Sekolah Rendah (KSSR). Perubahan ini selaras dengan hasrat negara yang mahu membina pelajar ke arah modal insan yang cemerlang di samping mengambil kira aspek teknologi maklumat dan komunikasi.

Justeru itu bahan ini disediakan bagi memastikan guru pelatih IPG Kampus Sultan Mizan telah bersedia ke arah perubahan ini apabila mula bertugas pada bulan Januari nanti. 






















read more "Modul Kurikulum Standart Sekolah Rendah (KSSR)"

Falsafah, Visi, Misi IPG Kampus Sultan Mizan

FALSAFAH
Memartabatkan guru sebagai agen pembina generasi dan negara bangsa serta menjadi sebuah organisasi pendidikan yang cakna kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan

VISI
Untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan keguruan

MISI
Menjana dan menyebar ilmu keguruan menerusi pembelajaran, pengalaman dan penyelidikan demi pembangunan pendidikan keguruan ke arah pembentukan negara bangsa

LIMA TERAS STRATEGIK IPG KAMPUS SULTAN MIZAN
1 Memperkasakan kualiti latihan keguruan
2 Membudayakan penyelidikan dan inovasi
3 Membudayakan sumber manusia
4 Melengkap dan menaik taraf infra dan antostruktur
5 Berkongsi kepakaran setempat dan antarabangsa
read more "Falsafah, Visi, Misi IPG Kampus Sultan Mizan"

Pengenalan IPG Kampus Sultan Mizan

PENGENALAN
Perancangan Perancangan pembinaan Maktab Perguruan Besut Terengganu bermula pada akhir 1990. Perletakan batu asas dan kerja-kerja pembinaan bermula pada 1996. Perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM57.1 juta. Tarikh penggunaan sebenar ialah pada 1 Januari 1999. Dirasmikan oleh DYMM Sultan Terengganu pada 10hb Okt. 2002. Pada 10hb. Okt. 2002 nama Maktab Perguruan Besut ditukar kepada Maktab Perguruan Sultan Mizan, Besut, Terengganu. Pada 6hb Mei 2006, nama Maktab Perguruan Sultan Mizan, telah ditukar nama kepada Institut Perguruan Sultan Mizan, Besut, Terengganu dan pada 16 Januari 2009 dikenali dengan IPGM Kampus Sultan Mizan.
Luas kampus ini adaiah 50 hektar, yang terdiri daripada lapan buah bangunan akademik, sebuah bangunan pentadbiran, sebuah bangunan gerakerja kokurikulum (GERKO), sebuah bangunan Budisiswa, sebuah dewan besar dan sebuah bangunan pusat sumber dan asrama pelajar. Kampus ini juga menyediakan berbagai kemudahan seperti surau, gelanggang permainan dan kemudahan sukan serta olahraga.
  
Institut Perguruan Sultan Mizan kini dikenali dengan nama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan. IPG Kampus Sultan Mizan kini mempunyai lebih 1700 orang pelatih (termasuk pelatih sepenuh masa dan separuh masa). IPG Kampus Sultan Mizan melaksanakan lebih daripada 20 kursus yang melibatkan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP), Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Program Latihan Guru Bestari, Program Kursus dalam Cuti (KDC dan LBPS-KPLI).
IPG Kampus Sultan Mizan mempunyai 13 buah jabatan, iaitu Jabatan Ilmu Pendidikan, Jabatan Pengajian Melayu, Jabatan Sains, Jabatan Matematik, Jabatan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Pra Sekolah, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Perguruan, Jabatan Bahasa, Jabatan Kajian Sosial, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Kemahiran Hidup dan Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
read more "Pengenalan IPG Kampus Sultan Mizan"

Kerangka Standart Guru Malaysia



Pengertian Standard Guru Malaysia

Standard Guru Malaysia ialah pernyataan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru (Standard) dan pernyataan aspek yang patut disediakan serta dilaksanakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan (Keperluan).

  • Asas Penentuan Standard Dan Keperluan
Perincian Standard dan Keperluan adalah berasaskan kepada aspek yang berikut:
  • Misi Nasional
Bagi mencapai prestasi yang tinggi dan impak maksimum daripada pembangunan nasional, Misi Nasional telah menggariskan lima teras utama seperti yang berikut:
  • meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi,
  • meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama,
  • menangani masalah ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang berterusan secara membina dan produktif,
  • meningkatkan tahap dan kemampuan kualiti hidup, dan
  • mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.
  • Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
  • Falsafah Pendidikan Guru (FPG)
"Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin."
  • Tatasusila Profesion Keguruan
Bagi menjaga nama baik profesion keguruan serta meningkatkan lagi mutu profesion, semua guru di Malaysia tertakluk kepada Tatasusila Profesion Keguruan yang disediakan dalam bentuk ikrar seperti berikut:
"Kami, guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa pentingnya usaha kami ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang, dan yang percaya akan demokrasi, kebebasan perseorangan dan prinsip-prinsip Rukunegara.
Melalui pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya memahami kebudayaan mereka, memperoleh pengetahuan yang terkumpul sejak zaman berzaman dan menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuhnya maka dengan ini kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan untuk membolehkan kami menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya"; (i) tanggungjawab terhadap pelajar, (ii) tanggungjawab terhadap ibu bapa (iii) tanggungjawab terhadap negara dan (iv) tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan.
  • Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia
Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia perlu dilaksanakan dan dihayati berdasarkan enam prinsip iaitu niat yang betul, perlakuan yang baik, penggerak ke arah kebaikan, memperkotakan apa yang dikatakan, berdisiplin dan beradab serta menghargai dan bertanggungjawab terhadap hasil usaha organisasi.
Standard Guru Malaysia juga digubal berdasarkan rujukan dan penandaarasan standard pendidikan di Malaysia dan standard pendidikan guru di beberapa negara maju. Standard Guru Malaysia mempunyai dua komponen utama yang saling berkait iaitu Standard (S) dan Keperluan (K). 

Standard merangkumi tiga aspek berikut:


Standard 1:  Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan
Standard ini memperincikan kompetensi amalan nilai profesionalisme keguruan berdasarkan domain diri, profesion dan sosial, yang patut ada pada seseorang guru.


Standard 2:  Pengetahuan dan Kefahaman 
Standard ini memperincikan kompetensi ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang subjek pengkhususan, ilmu pendidikan, kurikulum dan kokurikulum yang patut ada pada seseorang guru.

Standard 3:  Kemahiran Pembelajaran dan Pembelajaran
Standard ini memperincikan kompetensi kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang patut dikuasai oleh seseorang guru.


KEPERLUAN
Bagi menyokong dan membantu guru mencapai tahap kompetensi amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang diharapkan, agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan dan melaksanakan keperluan yang berikut:

Keperluan 1: Kelayakan dan Prosedur Pengambilan Calon Program Latihan Perguruan
Keperluan ini memperincikan syarat dan kriteria serta prosedur pengambilan calon program latihan perguruan.


Keperluan 2: Latihan, Pentaksiran dan Penilaian
Keperluan ini memperincikan program latihan, sistem pemantauan, dan pentaksiran dan penilaian.

Keperluan 3: Kolaborasi
Keperluan ini memperincikan permuafakatan antara agensi dan institusi latihan perguruan dengan pihak sekolah, institusi pendidikan tinggi tempatan dan luar negara, badan bukan kerajaan serta lain-lain institusi yang boleh memantapkan lagi latihan perguruan.

Keperluan 4: Infrastruktur dan Infostruktur
Keperluan ini memperincikan prasarana pengajaran dan pembelajaran, informasi dan komunikasi bagi mengoptimum kecekapan dan keberkesanan program latihan.

Keperluan 5: Jaminan Kualiti
Keperluan ini memperincikan semua aspek perancangan dan pelaksanaan dasar, strategi, prosedur serta aktiviti bagi mewujudkan keyakinan bahawa kualiti latihan sentiasa terpelihara dan ditingkatkan secara berterusan.

Perincian standard dan keperluan yang digariskan amat penting bagi menjamin program latihan yang dilaksanakan akan menghasilkan guru yang kompeten, kreatif, inovatif, dan berketerampilan.


read more "Kerangka Standart Guru Malaysia"

Logo Majlis Alumni IPG Kampus Sultan Mizan


Warna Kuning
Warna Diraja. Tanda taat setia kepada Raja-Raja Melayu

Glob
Pemikiran global ke arah kecemerlangan pendidikan negara

Daun Merah
Keberanian dalam menjalankan tugas sebagai pendidik

Latar Hitam
Unggul dalam setiap tingkah laku

Go To The Next Level
Pembelajaran sepanjang hayat



read more "Logo Majlis Alumni IPG Kampus Sultan Mizan"

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan

PELAN INDUK PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 2006-2010

Pendahuluan
Modal insan berminda kelas pertama merupakan salah satu kunci utama untuk membolehkan negara mencapai Wawasan 2020 yang telah digagaskan. Merekalah yang akan meningkatkan tahap produktiviti dan daya saing negara dalam mendepani cabaran dan tekanan besar persaingan abad ke 21. Agenda membina dan memupuk modal insan yang menjadi benih generasi masa depan ini amat bergantung kepada kualiti sistem pendidikan negara. Justeru, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah dirangka untuk melaksanakan dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia. PIPP telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. PIPP 2006-2010 telah menggariskan enam teras iaitu membina Negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan Sekolah Kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.

1. Membina negara bangsa
Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia
adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme, lingua franca, integrasi, kewarganegaraan dan demokrasi.

Cabaran globalisasi dan liberalisasi menuntut perubahan dinamik dalam system pendidikan bagi melahirkan warganegara “glokal” yang bertindak bijak menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi mengikut acuan local atau tempatan. Fokus utama dalam membina negara bangsa mencakupi usaha-usaha seperti memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai asas perpaduan, integrasi nasional dan bahasa ilmu. Fokus lain ialah memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa serta memupuk kefahaman yang jelas terhadap pendekatan Islam Hadhari dalam membentuk pemikiran kehidupan. Antara strategi untuk membina negara bangsa ialah :

· Menggerakkan gelombang baru gerakan memperkasakan bahasa kebangsaan.
· Memantapkan pelaksanaan Dasar Buku Negara.
· Menyelaras peranan semua pihak terlibat untuk menggiatkan aktiviti kebahasaan, kesusasteraan, pengkaryaan, penterjemahan dan penerbitan.
· Mewujudkan bulan bahasa dan sastera negara dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan.
Bagi memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional, pelbagai usaha akan dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat agar menghormati Perlembagaan Malaysia, meningkatkan semangat patriotik melalui aktiviti kokurikulum dan menanam semangat hormat-menghormati sensitiviti masyarakat pelbagai kaum. Selain itu, memberi kefahaman menyeluruh tentang pentingnya semangat kejiranan ke arah perpaduan dan integrasi nasional turut dititikberatkan. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) turut menyusun program bagi memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya melalui kurikulum kesenian, membina sekolah seni, meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA) serta membudayakan penggunaan tulisan jawi. Bagi memupuk kefahaman yang jelas tentang pendekatan Islam Hadhari, pelbagai aktiviti untuk bimbingan melalui siri ceramah, seminar dan penerbitan bahan bacaan berkaitan Islam Hadhari akan dilaksanakan.

2. Membangunkan modal insan
Pembangunan modal insan bertujuan memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan. Di samping itu, para pelajar akan dilengkapi kemahiran, komunikasi berkesan, kebolehan menggunakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dengan baik, berupaya berfikir secara kreatif dan kritis serta mampu bertindak secara rasional, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, mempunyai nilai tinggi serta berupaya menjadi pemimpin berkesan dalam keluarga dan masyarakat. Bagi mencapai dasar dan matlamat tersebut, fokus pembangunan modal insane sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah :

· Mengadakan lebih banyak pilihan pendidikan kepada ibu bapa danpelajar
KPM akan meneruskan kewujudan pelbagai jenis sekolah, aliran, mata pelajaran dan bidang pengkhususan. Pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) akan diteruskan. Pelaksanaan mata pelajaran vokasional (MPV) di sekolah-sekolah akan diperluaskan. Peruntukan belanja mengurus akan ditingkatkan bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

· Meningkatkan keupayaan dan minat pelajar untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran
Pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) akan dikaji semula agar lebih menekankan kemahiran berfikir aras tinggi. Budaya cintakan ilmu pengetahuan akan dipupuk dengan menggalakkan tabiat membaca. Penerbitan dan penterjemahan pelbagai jenis bahan bacaan sama ada dalam bentuk bercetak atau bukan bercetak akan dipergiatkan. Bagi menjayakan Program Pembestarian Sekolah, infrastruktur yang mencukupi akan disediakan seperti komputer, televisyen dan cakera video digital (DVD). Bagi memastikan program ini dapat beroperasi dengan lancar, program latihan dan bimbingan akan diadakan iaitu Latihan Asas Penggunaan Komputer, Latihan Penggunaan Komputer untuk pengajaran dan pembelajaran (P&P), Latihan Penggunaan Perisian Khusus dan latihan Penggunaan Televisyen Pendidikan (TVP) dalam P&P. Beberapa pendekatan P&P baru akan diperkenalakn supaya menarik minat para pelajar seperti program F1 Technology Challenge dan Robotik.

· Memupuk pelajar supaya memiliki kemahiran dan ketrampilan
Kemahiran berkomunikasi merentas kurikulum dan kokurikulum dengan memperbanyakkan aktiviti literasi dan secara langsung akan dipergiatkan. MPV akan diperluas di sekolah-sekolah selain memastikan pelajar menguasai kemahiran ICT. Bagi membina penampilan diri yang positif, aktiviti bina diri seperti kerja berpasukan dan pembinaan karakter akan diperbanyakkan. Ceramah, seminar, motivasi dan bengkel berunsur pembangunan insan akan ditingkatkan bagi memupuk nilai-nilai murni, budi bahasa dan adab di kalangan pelajar. Kerja amal dalam masyarakat setempat seperti di rumah orang tua dan anak yatim juga akan diperbanyakkan. Aspek keselamatan, kesihatan dan kebersihan (3K) turut diberi keutamaan. Program Amalan Kebersihan Sekolah turut dimantapkan sepanjang RMK-9.

· Memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik
KPM akan mengubah penekanan peperiksaan awam daripada berasaskan kandungan kepada kemahiran atau daripada bersifat ujian kepada kebolehan am. Bilangan mata pelajaran dalam peperiksaan awam juga akan dikurangkan bagi mata pelajaran tertentu. Sistem penggal akan dikaji semula dan digantikan dengan sistem semester bagi menjadikan suasana persekolahan tidak berorientasikan peperiksaan. Bagi memantapkan kualiti system pentaksiran dan penilaian, standard prestasi kebangsaan bakal diperkenalkan untuk dibandingkan dengan standard negara lain.

· Memantapkan program kokurikulum dan sukan
Budaya bersukan dan kokurikulum akan diterapkan kepada pelajar dengan menyediakan kemudahan serta peralatan sukan yang mencukupi di semua sekolah tidak kira lokasinya. KPM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melaksanakan program pembangunan sukan lebih menyeluruh di samping mengenal pasti sekolah yang dapat dijadikan Pusat Sukan Daerah dan Negeri. Bagi meningkatkan semangat patriotik, Rukun Negara akan dipelajari dan dihayati dari peringkat awal persekolahan. Penubuhan Kelab Rukun Negara akan dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah.

· Memperkukuh disiplin pelajar
Kempen Anti Buli, Kempen Anti Ponteng, kempen melibatkan penglibatan ibu bapa dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Kempen Pencegahan Salah Laku akan di perhebatkan. Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya 2005 akan dilaksanakan di sekolah rendah secara berperingkat dengan menerapkannya ke dalam mata pelajaran bahasa Melayu.

· Mempercepat perkhidmatan sistem aduan masalah disiplin dengan
mempelbagaikan saluran aduan terus
Saluran aduan terus akan dipelbagaikan termasuk talian terus, e-mail, faks dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

· Memantapkan kurikulum
Pelaksanaan j-QAF kepada murid Islam dan Pendidikan Moral kepada bukan Islam akan diperluaskan. Selain itu, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan akan diperluas pelaksanaannya ke Tahap Dua sekolah rendah dan sekolah menengah.

· Meningkatkan kerjasama KPM dengan pelbagai agensi
Ini akan dilakukan dengan menjalankan pelbagai aktiviti bagi membangunkan modal insan.

3. Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
Dalam PIPP, tumpuan memperkasakan Sekolah Kebangsaan (SK) diberi kepada sekolah rendah. Ini kerana SK berperanan penting sebagai tapak untuk menyemai serta memupuk perpaduan di antara kaum dari peringkat awal persekolahan. Ciri-ciri SK perkasa ialah :

· Infrastruktur lengkap dan berkualiti.
· Pemimpin dan guru cekap, terlatih dan berkualiti, semua pelajar menguasai 3M.
· Beraspirasi nasional.
· Menawarkan bahasa Cina dan bahasa Tamil.
· Pencapaian akademik cemerlang.
· Sistem sokongan yang kuat dan mencukupi.
· Iklim dan budaya sekolah yang sihat.
· Penawaran dan pelaksanaan kurikulum berasaskan pelanggan.
· Penawaran dan pelaksanaan kokurikulum yang berkesan.
· Pencapaian sahsiah pelajar cemerlang.

4. Merapatkan jurang pendidikan di luar bandar
PIPP bakal merapatkan jurang pendidikan antara lokasi dengan membangunkan infrastruktur dan kemudahan pendidikan luar bandar di seluruh negara. Selain itu, ia turut memfokuskan peningkatan kadar penyertaan dan mengurangkan risiko keciciran pelajar. Tumpuan akan diberi kepada sekolah-sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak. KPM turut memfokuskan untuk mengurangkan jurang pencapaian akademik dengan menambah bilangan komputer, TV Pendidikan, video teleconferencing, SchoolNet, makmal komputer, kemudahan perkakasan, pengisian dan tenaga kerja. Ini akan mengurangkan jurang digital yang wujud di kalangan murid dan guru luar bandar. Beberapa langkah telah dikenal pasti untuk meningkatkan penyertaan Orang Asli dan minoriti iaitu meningkatkan penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira).

5. Memartabatkan profesion perguruan
Guru-guru yang baru menamatkan pengajian perguruan dari maktab atau institusi pengajian tinggi akan diwajibkan berkhidmat di kawasan pedalaman dahulu tanpa sebarang pengecualian. KPM akan menambah baik insentif dan mewujudkan skim insurans khusus kepada guru yang berkhidmat di pedalaman selain menyediakan rumah guru dan kemudahan asas yang sempurna. Kurikulum Institut Pendidikan Guru (IPG) secara berpusat akan digubal bagi memberi penekanan kepada elemen baru dalam kurikulum pendidikan guru. Ia akan memberi focus kepada membangunkan infrastruktur yang meliputi Pusat Maklumat Latihan Keguruan, Sistem Penyaluran, rangkaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Portal Pendidikan Guru dan Total Campus Management System. Guru tugas-tugas khas bakal menikmati elaun baru apabila PIPP 2006-2010 dilaksanakan sepenuhnya. Pelbagai keistimewaan bakal dilaksanakan seperti mewujudkan laluan pantas untuk kenaikan gred DG berasaskan merit dan prestasi akan dilaksanakan, kemudahan tempat tinggal di kawasan pedalaman dan Bandar besar akan disediakan dan menempatkan guru mengikut opsyen dan keperluan.

6. Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan
Bagi melonjakkan lagi kecemerlangan institusi pendidikan dalam system pendidikan negara, dasar KPM adalah untuk mengadakan pendekatan, piawaian
dan penanda aras yang lebih tepat serta bersesuaian dengan ciri dan keperluan kluster institusi pendidikan yang ada iaitu mengikut bidang khusus (niche areas) masing-masing. Hal ini kerana pada masa ini terdapat pelbagai jenis sekolah dalam sistem pendidikan negara. Institusi-institusi model yang dapat dijadikan contoh akan dibangunkan supaya dapat dijadikan showcase di peringkat antarabangsa. Ia bertujuan untuk membuktikan keupayaan sistem pendidikan negara di samping membantu usaha untuk menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan Pendidikan. Dalam pada itu, sebanyak 300 buah institusi pendidikan yang menyerlah dan cemerlang dalam kluster institusi pendidikan tertentu akan dikenal pasti dan dipilih mengikut elemen berikut :

· Elemen utama (pencapaian purata, kokurikulum).
· Elemen sokongan (pengurusan dan pentadbiran sekolah, ketrampilan guru, pengurusan kewangan yang cekap, penglibatan ibu bapa dan masyarakat).

Kesimpulan
Dengan termeterainya PIPP 2006-2010, diharapkan bidang pendidikan bukan sahaja dapat melahirkan modal insan yang berpengetahuan, kuat fizikal dan cerdik minda tetapi juga mempunyai nilai-nilai yang sempurna dan murni untuk memikul amanah bagi membantu memajukan negara. Modal insan yang mempunyai celik minda dan nilai-nilai ditambah sangat penting untuk melakukan anjakan besar selain mampu bersaing untuk berjaya. Negara perlu melahirkan lebih ramai Ulul-Albab (pemikir) yang bersyukur kerana mereka merupakan golongan yang mampu melaksanakan amanah bagi membawa kebaikan kepada negara.
read more "Pelan Induk Pembangunan Pendidikan"

Madah Pembukaan

Assalamualaikum

Salam pembukaan dengan rasminya Blog Majlis Alumni IPG Kampus Sultan Mizan dibuka. Blog ini dibuka sebagai salah satu medium rasmi Alumni IPG Kampus Sultan Mizan yang dikendalikan sepenuhnya oleh graduan Ijazah Sarjana Muda pertama keluaran IPG Kampus Sultan Mizan.

Dengan adanya blog ini diharapkan dapat mengekalkan hubungan di antara 96 orang guru pelatih IPG Kampus Sultan Mizan dengan pihak IPG dan seluruh guru keluaran IPG Kampus Sultan Mizan. 


read more "Madah Pembukaan"

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP