Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
SELAMAT DATANG KE WEB BLOG MAJLIS ALUMNI IPG KAMPUS SULTAN MIZAN

Kerangka Standart Guru Malaysia

>> Wednesday, November 10, 2010



Pengertian Standard Guru Malaysia

Standard Guru Malaysia ialah pernyataan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru (Standard) dan pernyataan aspek yang patut disediakan serta dilaksanakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan (Keperluan).

  • Asas Penentuan Standard Dan Keperluan
Perincian Standard dan Keperluan adalah berasaskan kepada aspek yang berikut:
  • Misi Nasional
Bagi mencapai prestasi yang tinggi dan impak maksimum daripada pembangunan nasional, Misi Nasional telah menggariskan lima teras utama seperti yang berikut:
  • meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi,
  • meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama,
  • menangani masalah ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang berterusan secara membina dan produktif,
  • meningkatkan tahap dan kemampuan kualiti hidup, dan
  • mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.
  • Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
  • Falsafah Pendidikan Guru (FPG)
"Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin."
  • Tatasusila Profesion Keguruan
Bagi menjaga nama baik profesion keguruan serta meningkatkan lagi mutu profesion, semua guru di Malaysia tertakluk kepada Tatasusila Profesion Keguruan yang disediakan dalam bentuk ikrar seperti berikut:
"Kami, guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa pentingnya usaha kami ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang, dan yang percaya akan demokrasi, kebebasan perseorangan dan prinsip-prinsip Rukunegara.
Melalui pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya memahami kebudayaan mereka, memperoleh pengetahuan yang terkumpul sejak zaman berzaman dan menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuhnya maka dengan ini kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan untuk membolehkan kami menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya"; (i) tanggungjawab terhadap pelajar, (ii) tanggungjawab terhadap ibu bapa (iii) tanggungjawab terhadap negara dan (iv) tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan.
  • Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia
Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia perlu dilaksanakan dan dihayati berdasarkan enam prinsip iaitu niat yang betul, perlakuan yang baik, penggerak ke arah kebaikan, memperkotakan apa yang dikatakan, berdisiplin dan beradab serta menghargai dan bertanggungjawab terhadap hasil usaha organisasi.
Standard Guru Malaysia juga digubal berdasarkan rujukan dan penandaarasan standard pendidikan di Malaysia dan standard pendidikan guru di beberapa negara maju. Standard Guru Malaysia mempunyai dua komponen utama yang saling berkait iaitu Standard (S) dan Keperluan (K). 

Standard merangkumi tiga aspek berikut:


Standard 1:  Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan
Standard ini memperincikan kompetensi amalan nilai profesionalisme keguruan berdasarkan domain diri, profesion dan sosial, yang patut ada pada seseorang guru.


Standard 2:  Pengetahuan dan Kefahaman 
Standard ini memperincikan kompetensi ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang subjek pengkhususan, ilmu pendidikan, kurikulum dan kokurikulum yang patut ada pada seseorang guru.

Standard 3:  Kemahiran Pembelajaran dan Pembelajaran
Standard ini memperincikan kompetensi kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang patut dikuasai oleh seseorang guru.


KEPERLUAN
Bagi menyokong dan membantu guru mencapai tahap kompetensi amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang diharapkan, agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan dan melaksanakan keperluan yang berikut:

Keperluan 1: Kelayakan dan Prosedur Pengambilan Calon Program Latihan Perguruan
Keperluan ini memperincikan syarat dan kriteria serta prosedur pengambilan calon program latihan perguruan.


Keperluan 2: Latihan, Pentaksiran dan Penilaian
Keperluan ini memperincikan program latihan, sistem pemantauan, dan pentaksiran dan penilaian.

Keperluan 3: Kolaborasi
Keperluan ini memperincikan permuafakatan antara agensi dan institusi latihan perguruan dengan pihak sekolah, institusi pendidikan tinggi tempatan dan luar negara, badan bukan kerajaan serta lain-lain institusi yang boleh memantapkan lagi latihan perguruan.

Keperluan 4: Infrastruktur dan Infostruktur
Keperluan ini memperincikan prasarana pengajaran dan pembelajaran, informasi dan komunikasi bagi mengoptimum kecekapan dan keberkesanan program latihan.

Keperluan 5: Jaminan Kualiti
Keperluan ini memperincikan semua aspek perancangan dan pelaksanaan dasar, strategi, prosedur serta aktiviti bagi mewujudkan keyakinan bahawa kualiti latihan sentiasa terpelihara dan ditingkatkan secara berterusan.

Perincian standard dan keperluan yang digariskan amat penting bagi menjamin program latihan yang dilaksanakan akan menghasilkan guru yang kompeten, kreatif, inovatif, dan berketerampilan.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP